Tuesday, August 25, 2009

Langkah pertama Farith Taib


TIDAK semua artis bernasib baik. Kemunculan kali pertama tidak semestinya terus mendapat sambutan. Malah ada yang terpaksa bertapak sedikit demi sedikit untuk terus menempatkan diri dalam bidang seni.

Kecekalan anak muda yang menggelarkan dirinya Farith Taib ini mungkin tidak dirasai oleh orang ramai lagi. Tapi, berbekalkan pengalaman sebelum ini, tidak mustahil untuk Farith menjadi anak seni yang berjaya satu hari nanti.

Akui Farith, banyak pengalaman yang dikutip sepanjang bergelar penyanyi kelab malam. Apabila tamat sahaja sekolah menengah, dia terus berhijrah daripada satu kelab ke kelab yang lain.

Hampir tujuh tahun menghambakan diri di kelab-kelab malam, kini Farith mula sedar langkahnya tidak harus terhenti setakat itu sahaja. Dia harus terus berjuang demi memastikan kerjaya seninya berkembang seperti penyanyi lain.

Sudah tentu pengalaman ketika menyertai Malaysian Idol musim pertama memberikan memori manis kepada pemuda yang berusia 28 tahun ini.

Jelasnya walaupun hanya sampai ke peringkat wild card sahaja, di situlah dia menemui dimensi baru dalam hidupnya untuk terus berjaya. Keperitan untuk merealisasikan impian ditelan begitu sahaja.

Cahaya terang yang menyelubungi Farith selama ini semakin menampakkan cahaya apabila dia bertemu dengan Hazami, seorang penyanyi dan komposer yang terkenal.

"Alhamdulillah, bertemu dengan Hazami menjadi pembuka jalan untuk saya berjaya. Saya bersyukur sangat Hazami dapat melihat bakat yang ada dalam diri saya seterusnya ditawarkan menjadi artis rakaman Hazami Record.

"Meskipun sudah mengenali Hazami, dia tidak terus memberikan peluang kepada saya merakamkan album. Lama juga saya bersama Hazami sehinggalah dia mula percaya dan berani menerbitkan album saya," jelas anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Bercerita mengenai detik awal pertemuannya dengan komposer hebat tersebut, pada mulanya dia hanya mahu mendapatkan khidmat nasihat semata-mata. Itulah yang dinamakan rezeki.

Berkat kesabaran Farith, dia kini berbangga apabila album sulungnya sudah pun siap dan kini hanya menunggu masa untuk dilancarkan. Dinamik Cita dan Cinta menjadi bukti Farith mahu terus serius menjadi bintang yang bersinar.

Kata pemilik nama Farizzudin Mohammad Taib ini, album yang berkonsepkan pop ini telah diterbitkan di bawah label Hazami Record dan sudah pasti ia menerbitkan sedikit rasa bangga apabila puas berusaha.

"Saya suka lagu yang ada jiwa Melayu. Saya tak kisah jika ada yang melabelkan lagu berjiwa Melayu ini syahdu dan tangkap leleh. Buat apa nak malu dengan konsep sebegitu?

"Saya juga tidak kisah kalau tidak popular artis lain. Biarlah saya menapak sedikit demi sedikit atas usaha saya. Buat apa kita popular jika mengharapkan pada kontroversi," jelas Farith yang juga berbakat dalam penulisan lirik.

Bagi mereka yang berminat untuk mendengar dan mendapatkan lagu-lagu yang terkandung dalam album Dinamik Cita dan Cinta boleh melayari www.myspace.com/bliss81 atau e-mel kepada tekadhazami@yahoo.com.my

No comments:

Post a Comment